Friday, November 14, 2008

tentang saya

Kita harus menghargai bahasa ibunda kita. Oleh itu, saya ingin menggunakan bahasa malaysia baku bagi pos pada kali ini.


Saya seorang perempuan berumur 15 tahun. Saya seorang yang pemalu kadang-kadang tetapi kebanyakan masanya, saya sangat riuh dan kecoh. Saya pelajar lepasan PMR di sekolah yang agak bosan tetapi menarik. Saya dilahirkan di Kuantan tetapi ketika berusia 1 tahun, keluarga saya berpindah ke Johor Bahru. Di sana saya bersekolah di sekolah yang muridnya semuanya perempuan. Saya sayang akan sekolah itu. Malangnya, pada usia 11 tahun, saya berpindah ke Kuantan semula. Bukannya saya tidak menyukai Kuantan, tetapi saya lebih gembira dan menyukai Johor Bahru. Mungkin kerana saya dibesarkan di sana dan lebih selesa di sana.

Saya mempunyai satu tabiat iaitu kuat tidur, terutamanya ketika bosan. Saya tak tahu saya mendapat genetik ini dari siapa. Walaubagaimanapun, abang saya lagi kuat tidur berbanding saya. Dahulu, dia pernah tidur di sekolah sehingga pukul 4 dan 6 petang. Oleh itu, dia harus melompat turun dari bloknya memandangkan blok sudah dikunci. Adakah saya terlupa memberitahu bahawa keluarga saya sedikit lain daripada yang lain? Agak pelik, tetapi tidak lah pelik gila.

Saya merupakan seorang yang riang, ceria dan selalu tersenyum. Saya sangat gembira mempunyai kawan-kawan yang sangat girang juga. Oleh itu, kami sentiasa bergelak ketawa bersama-sama. Oh ya, sebelum terlupa. Ya, apabila kegilaan muncul, perangai sedikit keterlaluan bakal tertonjol tanpa diduga. Maaf di atas perangai itu. Saya akan cuba untuk menghapuskannya jika ia bertambah menjadi-jadi. Apabila saya berada dalam keadaan monyok atau berdiam diri, mungkin saya dalam keadaan sedih atau dengan erti kata lain, emosi tidak stabil. Tetapi selalunya, ia jarang berlaku kecuali sekiranya saya betul-betul sedih.

Saya tidak mempunyai teman lelaki dan tidak pernah ada satu pun semenjak saya hidup di atas muka bumi ini. Kenapa? Mungkin kerana saya tidak suka akan hubungan seperti ini dan lebih gembira hidup tanpa teman lelaki kerana lebih bebas? Ataupun tidak ada yang suka pada saya? Ataupun tidak ada yang berkenan di hati? Ataupun saya terlalu muda untuk mempunyai hubungan sebegitu? Hanya saya ada jawapannya dan kamu tidak perlu tahu. Dan saya tahu kamu tidak mahu mengambil tahu pun, bukan? Suka pada seseorang itu adalah satu lumrah. Saya pernah menyukai seseorang tetapi malangnya, dia seorang yang tidak begitu baik dan tidak jujur. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk tidak menyukainya lagi.

Saya hidup dalam satu keluarga yang agak sibuk. Ma selalu tiada di rumah kerana menghadiri kursus, mesyuarat dan sebagainya. Abah jarang tiada di rumah memandangkan dia bekerja sendiri. Kadang-kadang hidup saya lebih di luar berbanding di rumah. Hal ini kerana, setelah pulang dari sekolah, selalunya abah akan membawa saya makan dan duduk di pejabatnya sehingga pukul 5 lebih. Kemudian, kami akan mengambil adik di masjid dan baru pulang ke rumah. Selalunya pukul 6 lebih baru kami tiba di rumah. Oleh itu, hidup saya bermula di luar pada pukul 7 pagi sehingga pukul 6 lebih petang. Memanglah penat begini, tetapi kadang-kadang kalau duduk di rumah sahaja, bosan juga, bukan?


Saya rasa saya sudah banyak sangat berceloteh tentang diri saya. Saya tahu kamu bosan membacanya kerana kamu tidak mahu mengetahui pun tentang ini. Tidak mengapalah, saya berhenti menaip di sini sahaja. Maaf di atas kebosanan membaca pos ini. Saya tidak mempunyai sebarang tajuk yang menarik untuk ditulis. jadi, saya hanya menaip apa yang muncul dari akal fikiran. Terima kasih kerana meluangkan masa membaca blog saya yang tidak berapa menarik ini.

No comments: